Ahad, 1 Disember 2013

HADIAH SASTERA DARUL TA'ZIM KESEMBILAN (HSDT 9)



Bertemakan Muafakat Johor Melalui Kesusasteraan majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim Kesembilan telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA JOHOR pada 1 November 2013 bersamaan 27 Zulhijjah 1434H. Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin, diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis National Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan YWJ Citra Holdings Sdn Bhd.

Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) merupakan gagasan negeri Johor mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangan para penulis and karyawan Johor yang gigih berkarya memartabat sastera dan bahasa. Pengiktirafan ini bertujuan mendorong dan menjana iltizam serta kreativiti para penulis Johor untuk menghasilkan karya-karya besar dan bermutu.

Pada majlis tersebut, sebuah buku himpunan karya penerima HSDT Kelapan 2011 berjudul Tanah Amanah telah dilancarkan. 'Tanah Amanah' adalah sebuah sajak tentang fitrah manusia, mentafsir petala perasaan terhadap kuasa dan tanggungjawab - abstrak gambaran bagi keseluruhan genre penerima HSDT Kelapan. Menghimpunkan enam buah puisi, enam buah cerpen, dua buah esei dan kritikan sastera, sebuah drama radio dan enam buah karya penulis remaja (bawah 19 tahun). 

 


Tanah Amanah
ISBN 978-967-5361-13-5 (Paperback) 
Harga pasaran RM35.00

Khamis, 13 Jun 2013

TAWARIKH IBU

Terbitan terbaharu!!!

TAWARIKH IBU 
Razali Endun






Setiap langkah perjuangan mendambakan pengorbanan. Menuntut kemerdekaan tanah air adalah perjuangan yang panjang. Tawarikh Ibu menyingkap jejak juang seorang tokoh pendidikan yang juga tokoh kemerdekaan. Pemilik nama Zainun bte Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain telah mengangkat legasi yang mesti dipelihara oleh generasi kini. Beliau menempuhi pelbagai sudut cabaran untuk menjulang Malaya ke puncak kemerdekaan. Tawarikh Ibu membawa pembaca ke dunia perjuangan Ibu Zain.

Tawarikh Ibu disampaikan dalam rentetan kisah yang terpelihara melalui cucunda Ibu Zain, Nadia - seorang wartawan yang bertugas di luar negara. Memenuhi tuntutan kerjaya, Nadia meniti setiap peristiwa sejarah nendanya dengan rinci. Paling utama Nadia mencari misteri, mengapa majikannya Mr. Thomas Cook bersungguh-sungguh mahu mengenali Ibu Zain? Di luar makluman Mr. Thomas Cook, Nadia merahsiakan statusnya yang merupakan cucunda Ibu Zain. Seusai memperolehi semua jawapan, Nadia dikejutkan dengan sebuah berita...


Novel ini telah memenangi hadiah sagu hati Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor III