Rabu, 26 September 2012

MENCARI AKAR DI LADANG TERBAKAR

Pada 22 September 2012, bertempat di Hotel New York, Johor Bahru, telah diadakan Bicara Karya Kumpulan Puisi Zam Ismail "Mencari Akar Di Ladang Terbakar" anjuran DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama YWJ Citra Holdings Sdn. Bhd. Bermula pada jam 3.30 petang, sesi ini telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly dan pembicara-pembicara ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Dr. Haji Shamsudin Othman dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia. 

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan apresiasi sastera kebangsaan melalui bicara karya kreatif pelbagai genre; mengetengahkan dan mendedahkan hasil karya penulis kepada masyarakat; melahirkan masyarakat yang dapat menyelami penyampaian mesej dan pemikiran yang tersirat dalam karya yang dibicarakan; dan melahirkan masyarakat yang bijak menilai dan memanfaatkan isi kandungan sesebuah karya penulis.

Dalam kertas kerja 'Bayangan Peribadi Zam Ismail: Mencari Akar di Ladang Terbakar' oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kesimpulan yang dapat diambil oleh beliau adalah sajak yang terpilih adalah selektif dan berupaya melakar wajah peribadi penulis apabila dia menyikapi pihak yang menindas masyarakat bawahan, bangsanya, dan rakyat keseluruhan. Menurut beliau lagi, Zam Ismail merupakan seorang penganut falsafah egalitarian, yakni mengutamakan konsep keadilan, seorang nasiolis tegar, dan objektif dalam mendepani nasib bangsanya. Sebagai wakil masyarakat dan bangsanya, Zam Ismail telah bertindak dengan berhemah terhadap pemimpin tertinggi negara dengan menggunakan gaya pengucapan yang sarat kiasan.

Kertas kerja 'Memugar Apa Yang Terbakar?: Satu Telaah Model Rasa Insaniah' oleh Dr. Haji Shamsudin Othman pula membicarakan tentang tiga ciri utama Model Rasa Insaniah serta berpegang kepada prinsip kebenaran dan kejujuran, kesimpulan yang dapat dibuat adalah pertama; rasa tidak terjelma secara paksaan, kedua; dengan harapan yang menggunung, Zam Ismail telah membawa kita kepada pencarian makna akal budi Melayu-Islam yang sebenar dan, ketiga; Mencari Akar di Ladang Terbakar adalah sebuah amanat bahawa sebagai seorang penyair wajib mencontohi sifat-sifat kerasulan Nabi Muhammad S.A.W, iaitu sidiq, amanah, tabligh dan fatonah kerana kesedaran ini perlu untuk memaknakan seseorang itu sanggup bertanggungjawab pada hari pembalasan.

Buku kumpulan puisi ini boleh didapati di kedai-kedai buku yang berhampiran (sila rujuk senarai pengedar YWJ Citra Holdings) dengan harga RM25.00 (tidak termasuk harga pos).