Jumaat, 12 Oktober 2012

SAYEMBARA MENULIS NOVEL SEJARAH JOHOR IV

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor IV telah diadakan di Hotel New York, Johor Bahru pada Sabtu, 22 September 2012. Majlis ini disempurnakan oleh YB Hajah Asiah binti Md. Ariff selaku wakil kepada YAB Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor.

Untuk makluman, sayembara ini diadakan setiap dua tahun. Biasanya, pihak Yayasan Warisan Johor akan mengadakan bengkel penulisan untuk membantu para penulis memahami dengan jelas mengenai konsep novel sejarah. 

Berikut senarai pemenang-pemenang Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor IV:


Hadiah Pertama
Wahyu Budiwa Rendra A.Wahid 
PEJUANG 

Hadiah Kedua  
Hanita Haji Hassan 
OMBAK DENDAM TANAH SELATAN 

Hadiah Ketiga 
Hanita Haji Hassan 
1699 : DESAH DARI SELATAN 

Hadiah Sagu Hati 
Rahimah Muda 
RATU OPERA 

Hadiah Sagu Hati 
Abdul Latip Talib 
LAKSAMANA HANG NADIM    
        

 W.B.Rendra bersama teman-teman dan Hanita Haji Hassan.

Khamis, 11 Oktober 2012

PESTA BUKU FRANKFURT

Novel terbitan YWJ Citra Holdings Sdn. Bhd., Tiara Pesona telah terpilih di dalam katalog 50 BEST MALAYSIAN TITLES FOR INTERNATIONAL RIGHTS 2012 yang sedang dipromosikan di Pesta Buku Frankfurt, 10 - 14 Oktober 2012. Jutaan terima kasih kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia atas pemilihan novel ini.

Rabu, 26 September 2012

MENCARI AKAR DI LADANG TERBAKAR

Pada 22 September 2012, bertempat di Hotel New York, Johor Bahru, telah diadakan Bicara Karya Kumpulan Puisi Zam Ismail "Mencari Akar Di Ladang Terbakar" anjuran DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama YWJ Citra Holdings Sdn. Bhd. Bermula pada jam 3.30 petang, sesi ini telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly dan pembicara-pembicara ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Dr. Haji Shamsudin Othman dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia. 

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan apresiasi sastera kebangsaan melalui bicara karya kreatif pelbagai genre; mengetengahkan dan mendedahkan hasil karya penulis kepada masyarakat; melahirkan masyarakat yang dapat menyelami penyampaian mesej dan pemikiran yang tersirat dalam karya yang dibicarakan; dan melahirkan masyarakat yang bijak menilai dan memanfaatkan isi kandungan sesebuah karya penulis.

Dalam kertas kerja 'Bayangan Peribadi Zam Ismail: Mencari Akar di Ladang Terbakar' oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kesimpulan yang dapat diambil oleh beliau adalah sajak yang terpilih adalah selektif dan berupaya melakar wajah peribadi penulis apabila dia menyikapi pihak yang menindas masyarakat bawahan, bangsanya, dan rakyat keseluruhan. Menurut beliau lagi, Zam Ismail merupakan seorang penganut falsafah egalitarian, yakni mengutamakan konsep keadilan, seorang nasiolis tegar, dan objektif dalam mendepani nasib bangsanya. Sebagai wakil masyarakat dan bangsanya, Zam Ismail telah bertindak dengan berhemah terhadap pemimpin tertinggi negara dengan menggunakan gaya pengucapan yang sarat kiasan.

Kertas kerja 'Memugar Apa Yang Terbakar?: Satu Telaah Model Rasa Insaniah' oleh Dr. Haji Shamsudin Othman pula membicarakan tentang tiga ciri utama Model Rasa Insaniah serta berpegang kepada prinsip kebenaran dan kejujuran, kesimpulan yang dapat dibuat adalah pertama; rasa tidak terjelma secara paksaan, kedua; dengan harapan yang menggunung, Zam Ismail telah membawa kita kepada pencarian makna akal budi Melayu-Islam yang sebenar dan, ketiga; Mencari Akar di Ladang Terbakar adalah sebuah amanat bahawa sebagai seorang penyair wajib mencontohi sifat-sifat kerasulan Nabi Muhammad S.A.W, iaitu sidiq, amanah, tabligh dan fatonah kerana kesedaran ini perlu untuk memaknakan seseorang itu sanggup bertanggungjawab pada hari pembalasan.

Buku kumpulan puisi ini boleh didapati di kedai-kedai buku yang berhampiran (sila rujuk senarai pengedar YWJ Citra Holdings) dengan harga RM25.00 (tidak termasuk harga pos). 


Selasa, 28 Februari 2012

BICARA KARYA SASTERA NEGERI JOHOR


Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Johor pada bulan Oktober 2011 bertarikh 22hb, Bicara Karya Sastera Negeri Johor telah diadakan di Perpustakaan Sultan Ismail anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Selatan dan Perpustakaan Sultan Ismail MBJB dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor. Antara buku yang dibicarakan di sesi tersebut adalah 'Bagin Sungai Merah' karya Rahimah Muda dan 'Empayar IX' karya W.B.Rendra. YWJ Citra Holdings Sdn Bhd telah dijemput untuk membuat pameran dan jualan buku.

*Empayar IX merupakan buku terbitan YWJ Citra Holdings Sdn Bhd.



Tn. Hj. Zulkifli Khair dari UTM sedang memperkatakan buku 'Empayar IX'


Antara yang menghadiri sesi tersebut


Penulis W.B. Rendra bersama rakan sekerja


Warga kerja YWJ Citra Holdings Sdn Bhd yang bertugas di gerai jualan buku






Ahad, 5 Februari 2012

SESI SUMBANGSARAN PENULISAN BUKU WARISAN ISKANDAR PUTERI

Pada 28 - 29 Januari 2012, bertempat di New York Hotel, Johor Bahru telah diadakan Sesi Sumbangsaran Penulisan Buku Warisan Iskandar Puteri. Buku ini mengenai pembangunan bandar lama Johor Bahru dari tahun 1855 hingga 2010 merupakan kerjasama antara Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan YWJ Citra Holdings Sdn Bhd (CITRA).



Gambar kenangan penganjur bersama para peserta dan urus setia Sesi Sumbangsaran Penulisan Buku Warisan Iskandar Puteri